Akademi Fantasia (musim 8)
Akademi Fantasia (musim 8)

Akademi Fantasia (musim 8)

Akademi Fantasia Musim 8 ialah rancangan realiti musim kelapan yang popular di Malaysia yang mengikut format rancangan realiti di Mexico iaitu La Academia. Pengetua barunya ialah Norman Abdul Halim[1] atau Norman KRU. Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley bertindak sebagai pengacara[2]. Jimmy terkenal menerusi program Trek Selebriti dan sebagai penyampai Era FM. Tenaga pengajar ialah dengan menampilkan semula Siti Hajar (Guru Vokal Teknikal), Linda Jasmine (Guru Tari), Adnan Abu Hassan (Guru Vokal Persembahan) dan Fatimah Abu Bakar (Kaunselor dan Guru Bahasa Inggeris). Aktor Que Haidar sebagai Guru Drama.[3]Kelainan utama AF8 ialah konsert dan sesi penyingkiran tidak lagi diadakan pada malam yang sama, iaitu konsert pada hari Sabtu, dan penyingkiran (Debaran AF) pada Ahad keesokannya. Kedua-dua acara dilangsungkan di Stadium Putra Bukit Jalil. Konsert akhir AF8 pada 22 dan 23 Mei juga istimewa kerana inilah kali pertama sesebuah rancangan berbahasa Melayu terkemuka terbitan Astro disiarkan dalam bentuk HD, melalui saluran khas AFHD yang disiarkan selama 48 jam sahaja (22 Mei, pukul 00:01 hingga 23 Mei, pukul 23:59), untuk pelanggan Astro B.yond sahaja.[4] Juara musim kelapan kali ini dimenangi oleh Ahmad Shahir Zawawi yang berusia 22 tahun yang berasal dari Kampar, Perak. Beliau merupakan juara kedua yang berasal dari Perak selepas Ahmad Zahid Baharuddin pada musim kedua. Shahir juga merupakan pelajar pertama AF Masuk yang diangkat menjadi juara dimana beliau diserap semula ke pertandingan pada minggu kelapan selepas beliau tersingkir pada minggu ketujuh.